Monday, 5 January 2009

SIAPAKAH LEGENDA?

Pelbagai ragam manusia telah aku temui setelah menghadiri perhimpunan aman yang diadakan di dua buah tempat yang berbeza. Pengalaman manis dan pahit ini telah menambatkan kesan mendalam yang tidak mungkin boleh diracik dari sanubariku. Apatah lagi aku berpeluang bertemu dengan para wira negara walaupun dalam kaca mata pihak tertentu, mereka merupakan pengkhianat yang amat digeruni.

Aku sangat bertuah kerana dapat mengenali seorang pejuang yang berpegang teguh kepada keyakinan dan kepercayaaannya. Pengorbanannya yang menakjubkan telah menjadikan dirinya sebagai seorang penulis blog yang dikenali ramai di seluruh pelosok dunia, sementelahannya kesanggupan beliau dipenjarakan demi mempertahankan hak asasinya sebagai seorang penulis.

Aku sering bertanyakan kendiri tentang ciri-ciri seorang legenda. Adakah seseorang itu hanya boleh dianggap sebagai legenda selepas kematiannya atau semasa degupan jantungnya masih kencang? Sekiranya seseorang boleh dipanggil sedemikian kerana perjuangannya menentang penjajah demi negara, bagaimana pula halnya sekiranya beliau berjuang menentang kerajaannya sendiri demi generasi akan datang? Persoalan-persoalan tersebut sering menari-nari di dalam kotak fikiranku. Aku tidak menyangkal kenyataan bahawa setiap orang mempunyai tafsiran yang berbeza tetapi bagiku, beliaulah seorang yang harus dikenali sebagai seorang legenda dan tokoh dalam ertikata yang sebenar.

Pada hakikatnya, beliau bukan sahaja memainkan peranan yang penting, malah mengambil langkah yang berani dalam usahanya untuk menyedarkan rakyat jelata tentang penindasan yang dikenakan ke atas mereka. Kesetiaan beliau terserlah apabila beliau enggan bertolak-ansur kendatipun ditawarkan dengan segala kemewahan yang boleh dikecapinya. Walaupun telah dan mungkin akan dipenjarakan lagi, beliau tidak tunduk kepada ketakutannya sendiri untuk menulis bahan bacaan yang mencabar fikiran dan menghidangkan fakta untuk dijamu oleh kita sekalian.

Aku juga sangat bertuah kerana dapat mengenali seorang wanita yang boleh memberi kekuatan kepada sesiapa sahaja yang mengenalinya. Semasa beliau berucap di perhimpunan aman, senyuman dan kata-katanya sering disulami dengan keikhlasan, keprihatinan serta kesabaran yang boleh mencairkan hati setiap pendengar.

Aku terserempak dengannya semasa suaminya masih berada di dalam penjara. Lemparan pandangannya kepadaku menjadikan aku terkaku. Lidahku menjadi kelu dan kata-kata semangat yang seharusnya diberikan kepadanya tiba-tiba lenyap dalam ingatanku. Aneh sekali, air mukanya langsung tidak memaparkan rasa untuk meraih simpati, malah memberi keyakinan dan kekuatan kepadaku untuk menempuhi cabaran hidup.

Aku cuba mengorak langkah dan menampilkan diri untuk berbual dengannya namun kakiku terasa berat sekali. Aku khuatir penampilan diriku akan mencetuskan satu penolakan yang tidak dapat aku terima. Cukuplah sekadar mengetahui bahawa dirinya dikerumuni dengan sokongan yang tidak berbelah bahagi.

Namun aku sedih kerana terlambat mengenali seorang jejaka yang telah kembali ke rahmatullah. Apabila aku mengetahui bagaimana beliau terpaksa meminjam wang untuk memberi sokongan kepada pihak tertentu, aku terpegun. Aku terpegun kerana pengorbanannya begitu besar sekali. Aku terpegun kerana sifatnya yang langsung tidak mementingkan diri sendiri. Aku juga terpegun dengan apa yang dilakukan atas nama perjuangan.

Aku hairan dengan kesanggupanku menitiskan air mata kerananya. Aku tahu titisan air mataku memang berbaloi. Aku cuba menyelami kehidupan dan pemikirannya, tetapi aku gagal kerana perjuanganku tidak setandingnya. Memang perselarian kami jauh sekali. Aku berharap nescaya satu hari nanti, perjuangannya akan membawa kesedaran kepada semua penduduk di negara ini.

Aku tahu sekiranya ini adalah suratan takdir, siapakah aku menafikan penghakimanNya. Sepeninggalannya dari dunia ini, aku bertekad untuk tidak mensia-siakan sisa baki hidupku ini dengan mendiamkan diri. Aku akan meluahkan perasaanku selagi hayat aku masih ada kerana kemungkinan esok, giliranku pula tiba untuk bertemu dengan Pencipta alam semesta.

Namamu akan tersemat di dalam hatiku. Selamat tinggal Syukree.


Article contributed by PY

No comments:

Post a Comment